--> Skip to main content

Pengarah Politeknik Nilai didakwa rasuah

PENGARAH Politeknik Nilai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas tujuh pertuduhan rasuah membabitkan pelantikan syarikat pembekalan dan perkhidmatan serta menerima wang suapan berjumlah RM15,000 pada 2018.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh Nazri Idris, 57, didakwa menggunakan kedudukannya untuk memilih empat syarikat iaitu Unggul Merah Mewah Resources Sdn Bhd, Sinar Jaya Niaga Resources, Excellent Shark dan Pasar Segar Adik Nurr yang mempunyai hubungan dengannya.

Syarikat itu dilantik bagi membekalkan perkhidmatan dan pembekalan untuk Bengkel Programmable Logic Controller (PLC) & Internet Of Things, Bengkel Penyelenggaraan Sistem Automasi, menyediakan tenaga pengajar bagi kursus aplikasi PLC dan membekalkan barangan serta komponen bagi kursus berkenaan.

Semua kesalahan itu dilakukan di bilik pengarah Politeknik Nilai, Kompleks Pendidikan Bandar Enstek antara November hingga Disember 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Nazri didakwa menerima RM4,000 dan RM3,000 yang dipindahkan secara dalam talian ke dalam akaun Ismail Shamsuddin dan menerima wang tunai RM8,000 yang semuanya dari Syarikat Tas Solutions Enterprise.

Dia melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor, Maybank cawangan TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor dan bilik pengarah Politeknik Nilai dari 15 Disember 2018 hingga 28 Januari 2019.

Syarikat berkenaan mempunyai hubungan dengan kerja rasmi pembekalan dan perkhidmatan program sama yang dianjurkan politeknik berkenaan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Nazri yang tidak diwakili peguam merayu ikat jaminnya dikurangkan dengan alasan mempunyai anak yang masih bersekolah, mempunyai komitmen yang tinggi dan perlu membayar hutang rumah.

Hakim Madihah Harullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September ini untuk sebutan semula kes.