--> Skip to main content

Pengarah & Penerbit Yusof Kelana Meninggal Dunia

Pengarah & Penerbit Yusof Kelana Meninggal Dunia Pengarah dan penerbit filem veteran, Yusof Kelana meninggal dunia pada usia 66 tahun di kediamannya yang terletak di Taman Melawati, Hulu Klang sekitar jam 9.30 pagi tadi.

Memetik laporan mStar, Allahyarham meninggal dunia akibat mengalami kanser kulit tahap empat.

Menurut teman rapatnya, Datuk Jurey Latiff Rosli, 54, urusan pengebumian jenazah akan disempurnakan selepas mendapat kebenaran.

"Arwah meninggal dunia kira-kira jam 9.30 pagi tadi di rumahnya, doktor telah datang ke rumah untuk membuat pengesahan.

"Laporan polis juga harus dibuat terlebih dahulu, kemudian akan diteruskan dengan proses mendapatkan kebenaran pengebumian pula," kata Jurey yang juga Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM).

Tambah Jurey, isteri Allahyarham mahu jenazah dikebumikan di kawasan berdekatan rumahnya sekitar waktu selepas Zohor hari ini.

"Isteri Yusof mahu Allahyarham dikebumikan di kawasan sekitar rumahnya, mungkin selepas solat Zohor akan selesai semuanya," katanya lagi.

Terdahulu, Yusof atau nama sebenarnya Omar Saleh telah mendapat simptom awal iatu luka sebesar syiling 50 sen pada tapak kaki dua tahun lalu.

Namun Allahyarham tidak mendapatkan rawatan yang sepatutnya dan membiarkan luka itu merebak kerana tidak suka ke hospital.

Allahyarham disahkan menghidap kanser kulit pada Jun tahun ini.

Sumber : mStar