--> Skip to main content

Pengalaman di Filipina jadi sandaran penembak negara

KUALA LUMPUR: Pengalaman daripada Sukan SEA Filipina 2019 dijadikan teladan buat kem menembak negara untuk menghadapi temasya seterusnya di Vietnam tahun depan.

Skuad negara ketika itu hanya membawa pulang dua pingat perak dan empat gangsa selain tahun 2019 turut menyaksikan mereka gagal menempatkan diri ke temasya Olimpik Tokyo seterusnya detik itu dijadikan panduan untuk mereka membidik keputusan lebih baik di masa depan.

Jurulatih skuad menembak negara, Mohd Yusri Jusoh berkata, terdapat beberapa faktor yang menjadi punca kegagalan meraih pingat emas tahun lalu meskipun Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) sudah memberikan kemudahan dan pendedahan terbaik sebelum temasya bermula.

"Persiapan dan pendedahan yang diberikan persatuan sudah cukup terbaik apabila kami turut menghantar atlet keluar negara dan semuanya dilihat dalam keadaan terkawal sebelum temasya Sukan SEA bermula.

"Begitupun, faktor keyakinan diri ataupun tekanan dalam diri sendiri menjadi antara punca mereka tewas di pentas final," kata Yusri.

Justeru, pihaknya melakukan rombakan yang menyaksikan lebih ramai penembak muda dimasukkan ke dalam skuad kebangsaan antaranya seperti Haritz Iklil Hessly Hafiz, Nurul Syasya Nadiah Ariffin, Alia Husna Budruddin dan Nur Izazi Rosli.

Semua penembak itu dipilih selepas mempamerkan prestasi cemerlang di Kejohanan Menembak Terbuka Selangor, awal tahun ini.

Persatuan turut merencanakan dua kejohanan tempatan pada tahun ini, dalam usaha menilai prestasi atlet selepas empat bulan berehat susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).