--> Skip to main content

Penduduk perlu akur arahan PKPD

ALOR SETAR: Kerajaan negeri meminta lebih 20,000 penduduk di Aman Jaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk melakukan saringan COVID-19 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran mulai tengah malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, semua pihak perlu akur dengan arahan itu bagi memutuskan rantaian wabak di kawasan berkenaan.

"Kita catat banyak kes positif jangkitan COVID-19 menerusi Kluster Tawar disebabkan kita tak jaga diri sendiri, tak patuhi arahan kerajaan dengan menjaga kebersihan, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.

"Penduduk yang perlu jalankan saringan kena ikut arahan Kementerian Kesihatan... kita mudahkan urusan petugas kesihatan supaya wabak ini dapat dikawal," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Hayati berkata, beberapa arahan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dikeluarkan dari semasa ke semasa terutama di luar kawasan Aman Jaya.

"Sebelum ini kita sudah ada pengalaman PKPD Secara Pentadbiran di empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap akibat penularan Kluster Sivagangga, cuma kali ini penduduk di Aman Jaya lebih ramai.

"Arahan PBT di kawasan lain ada yang sudah dikeluarkan, kita akan umumkan mengikut situasi semasa di kawasan terbabit,"katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan PKPD Secara Pentadbiran di Aman Jaya, Sungai Petani akan dijalankan berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini sehingga satu tempoh yang akan diumumkan.

Katanya, arahan itu membabitkan Zon Kenanga, Zon Mawar dan Zon Melur di Amanjaya, Sungai Petani.

PKPD Secara Pentadbiran itu membabitkan 22,360 isi rumah merangkumi 265 rumah dan semua mereka akan disaring.