--> Skip to main content

Penduduk Kuala Sanglang sudah boleh senyum

PENDUDUK Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul dekat Kangar akhirnya menarik nafas lega selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) ditamatkan hari ini.

Penduduk, Ismail Saad, 64, berkata, dia bersyukur apabila Temco ditamatkan hari ini, namun berharap orang ramai mematuhi norma baharu dan penjarakan fizikal seperti disarankan kerajaan.

Katanya, ia bagi memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan di kawasan itu serta mengelak Temco kembali dilaksana.

"Ketika Temco dilaksanakan, penduduk sangat gusar kerana kebanyakan kami bekerja sendiri sebagai peniaga dan petani sekitar Kuala Sanglang.

"Jadi kami tidak dapat bekerja dan terpaksa mengharapkan bantuan disalurkan sehingga hanya makan ala kadar saja di rumah.

"Saya juga bersyukur kerana bermula hari ini sudah boleh kembali membuka kedai," katanya yang mengusahakan kedai runcit.

Bagi Saadiah Baharom, 58, dia akan memulakan perniagaan kedai makannya Sabtu ini kerana perlu melakukan kerja pembersihan selepas hampir tiga minggu tidak membuka kedai.

"Memang bersyukur sangatlah, walaupun pada mulanya kami takut sebab wabak mula menular, tetapi selepas pesakit terbabit disahkan pulih, saya kini berasa lega.

"Saya dapat kembali melakukan aktiviti harian seperti biasa termasuk berniaga dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan wabak tidak muncul lagi di kawasan ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, penghadang yang menutup jalan masuk ke dua kampung terbabit sudah dialihkan pada jam 12 tengah malam tadi.

"Kerja pengalihan sudah dilakukan malam tadi dan semua penduduk mula membuka gelang merah jambu secara berperingkat mengikut arahan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis.

"Namun saya minta penduduk untuk terus mematuhi perintah daripada pemerintah agar mematuhi SOP dan sentiasa menjaga keselamatan diri mereka," katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan Temco di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul tamat hari ini, selepas tiada kes positif baharu dan semua penduduk di kawasan berkenaan sudah menjalani saringan Covid-19.