--> Skip to main content

Pemulihan semula ekonomi Indonesia terencat

JAKARTA: Usaha Indonesia memulihkan ekonomi menjadi buntu ketika wabak COVID-19 memaksa kilang di satu pusat pembuatan terbesarnya ditutup.

LG Electronics Korea Selatan dan Suzuki Motor serta NOK Corp dari Jepun diarah menghentikan operasi kilangnya di Cikarang, Jawa Barat selepas lebih 300 pekerja di kawasan industri berkenaan diuji positif COVID-19.

Presiden Joko Widodo berusaha mengubah wabak itu menjadi peluang untuk menjadikan Indonesia ke arah negara maju.

Beliau berjanji meningkatkan perbelanjaan negara, selepas ekonomi jatuh ke dalam penguncupan pertamanya dalam tempoh lebih 20 tahun.

Sementara itu, kluster baharu dan peningkatan jumlah jangkitan menyebabkan pejabat dan kilang ditutup, manakala pengguna memilih untuk tinggal di rumah.

GRADUAN menunggang motosikal dalam majlis konvokesyen secara pandu lalu untuk mengurangkan wabak COVID-19 di Universiti PGRI University, Semarang, Jawa Tengah, hari ini. - Foto AFP GRADUAN menunggang motosikal dalam majlis konvokesyen secara pandu lalu untuk mengurangkan wabak COVID-19 di Universiti PGRI University, Semarang, Jawa Tengah, hari ini. - Foto AFP

"Wabak tempatan yang berpanjangan tetap menjadi risiko besar untuk pemulihan, terutama kerana pusat ekonomi masih menjadi titik panas wabak.

"Ini akan menjadikan isi rumah dan perniagaan berhati-hati, walaupun tidak ada sekatan pergerakan dilaksanakan semula," kata ahli ekonomi, Euben Paracuelles dan Rangga Cipta, di Nomura Singapura, dalam sebuah laporan.

Indonesia merekod lebih 3,000 kes virus baharu semalam dengan jumlah kematian tertinggi di Asia Tenggara, iaitu lebih 7,000 orang.

Kenaikan dalam kes jangkitan itu mencetuskan kebimbangan terhadap pelabur dan rakyat Indonesia untuk berbelanja lebih, menurut ketua ekonomi di PT Bank Central Asia, David Sumual. - AGENSI