--> Skip to main content

Pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin ditangkap

KAHERAH: Mesir menahan pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin, dalam usaha membanteras kumpulan Islam, menurut Menteri Dalam Negeri.

Mahmud Ezzat, sebelum ini pernah dijatuhi dua hukuman mati tanpa kehadiran serta hukuman penjara seumur hidup.

Mesir memenjara ribuan ahli kumpulan dan penyokong kumpulan itu sejak penggulingan Presiden Mohamed Morsi oleh pihak tentera pada 2013, selepas tunjuk perasaan besar-besaran diadakan bagi menentang pemerintahan singkatnya.

Kaherah menyenaraihitamkan kumpulan itu sebagai organisasi pengganas, namun dakwaan itu disangkal, selain menafikan pembabitan dalam keganasan.

"Pihak keselamatan negara memaklumkan mengenai penangkapan pemimpin Ikhwanul Muslimin, Mahmud Ezzat," menurut Kementeriam Dalam Negeri dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, Ezzat ialah pemangku pemimpin tertinggi organisasi pengganas antarabangsa berkenaan.

Beliau ditahan di kawasan perumahan di timur ibu negara, walaupun terdapat khabar angin oleh pihak berkuasa bahawa beliau berada di luar negara.

Ezzat pernah disabitkan atas tuduhan menyertai kepemimpinan organisasi pengganas, bekerjasama dengan kumpulan pengganas bersenjata dan membahayakan asas negara.

Beliau yang menjadi ahli kumpulan itu sejak 1960, pernah dipenjara ketika pemerintahan Presiden Gamal Abdel Nasser dan Hosni Mubarak, selain menjadi pemangku pemimpin organisasi itu beberapa kali. - AFP