--> Skip to main content

Pemimpin dunia hargai jasa Abe

LONDON: Peletakan jawatan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe atas faktor masalah kesihatan mendapat pelbagai pandangan daripada pemimpin dunia dan rakan perniagaan.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, berkata Abe sudah berjaya mencapai kejayaan besar untuk negara dan dunia.

"Hubungan dengan United Kingdom juga kukuh dalam dalam perdagangan, pertahanan dan hubungan budaya," katanya.

Bagi Russia, Kremlin kesal kerana Abe memutuskan untuk mengundurkan diri kerana hubungan yang terbina begitu cemerlang.

Amerika Syarikat pula berterima kasih terhadap kepimpinan Abe yang luar biasa dan paling lama berkhidmat di Jepun, malah menjadikan Perikatan Amerika-Jepun dan hubungan keseluruhan menjadi paling kuat.

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan pengganti Abe dalam memperkukuh lagi hubungan negara," menurut pegawai kanan pentadbiran.

Presiden Taiwan, Tsai Ing-Wen, berkata Abe selalu bersikap ramah dengan Taiwan tidak kira dalam dasar, mahupun membabitkan kepentingan rakyat Taiwan.

"Kami menghargai sikap ramahnya terhadap Taiwan dan berharap dia sihat," katanya.

Jurucakap Presiden Blue House, Korea Selatan, Kang Min-Seok, berkata pengunduran Abe secara tiba-tiba meninggalkan banyak pencapaian yang bermakna sebagai Perdana Menteri paling lama berkhidmat di Jepun dan memainkan peranan besar, untuk pembangunan di Korea Selatan dan hubungan dua hala dengan Jepun.

"Kami berharap Abe cepat sembuh. Kerajaan kami akan terus bekerjasama dengan perdana menteri baharu dan kabinet baharu untuk meningkatkan hubungan dengan Jepun," katanya.

Pengerusi Persekutuan Industri Korea, Kumpulan Lobi Perniagaan Korea Selatan, Kwong Tae-Shin, berkata Presiden Moon Jae-in dan Abe tidak mempunyai hubungan peribadi yang baik dan apabila pemimpin baharu memegang jawatan di Jepun, beliau berharap ia dapat memberikan momentum untuk meningkatkan hubungan dua hala.

Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Jerman di Jepun, Marcus Schurmann, berkata Abe antara pendorong utama hubungan antarabangsa dan perdagangan bebas, malah melakukan banyak perkara untuk Jepun kembali ke pentas dunia.

"Kami memiliki perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan beliau juga menangani banyak masalah secara diam-diam. Abe turut memikirkan hubungan dengan China, Russia dan hubungan dengan AS, sejak Trump berkuasa.

"Saya tidak ingin mengatakan beliau gagal, tapi masalah dengan Korea tidak selesai lagi. Saya berharap ia akan ditangani oleh penggantinya.

"Beliau berjaya membawa Olimpik ke Tokyo. Saya rasa ini antara pencapaian besar yang tidak boleh kita lupakan," katanya. - AGENSI