--> Skip to main content

Pemimpin Denmark anti-Muslim dilarang masuk Sweden

STOCKHOLM: Rasmus Paludan yang mengetuai parti Hard Line di Denmark dan terkenal kerana anti-Muslim dilarang memasuki Sweden untuk tempoh dua tahun, menurut pihak berkuasa negara itu.

"Kami mengesyaki dia akan melanggar undang-undang di Sweden," kata Calle Persson, jurucakap polis di Malmo kepada AFP.

"Terdapat juga risiko tingkah lakunya akan menimbulkan ancaman kepada masyarakat," katanya.

Paludan dijadual mengunjungi Malmo pada Jumaat untuk mengadakan demonstrasi anti-Muslim dengan meminta orang ramai membakar al-Quran pada hari umat Islam berkumpul di masjid untuk solat Jumaat.

Paludan ditahan berhampiran Malmo. Bagaimanapun, penyokong Paludan mengadakan demonstrasi dan membakar al-Quran, menurut media tempatan.

Tiga orang ditahan kerana menghasut kebencian antara kaum.

Paludan kemudiannya menyiarkan mesej mencerca di Facebook.

"Dihantar pulang dan dilarang masuk Sweden selama dua tahun. Namun, perogol dan pembunuh dialu-alukan! " kata Paludan. - AFP