--> Skip to main content

Pemandu Nissan Frontier masih kritikal

PEMANDU kenderaan pacuan empat Nissan Frontier yang terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan hingga mengorbankan tiga sekeluarga di Kilometer 37 Jalan Klang-Teluk Intan, Kuala Selangor, malam tadi, masih dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

"Dia (pemandu Nissan Frontier) masih kritikal dan baru dipindahkan dari Hospital Tanjong Karang (HTK) ke Hospital Sungai Buloh (HSB)," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, hari ini.

Terdahulu, portal Harian Metro hari ini melaporkan tiga sekeluarga maut selepas kereta Honda City dinaiki bertembung dengan Nissan Frontier.

Dalam kejadian pada 10.45 malam itu, mangsa, Anni Kholilah, 42 dan dua anak perempuannya, Nurkhalisah Ali Yusri, 24 dan Nur Syafiqah Ali Yusri, 17, masing-masing maut di lokasi kejadian.

Kejadian berlaku apabila Nissan Frontier terbabit memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Honda City dinaiki tiga beranak itu.

Berita berkaitan

• Gurauan mati bersama jadi kenyataan [METROTV]

• Ajal tiga beranak