--> Skip to main content

Pemandu diserang sakit jantung, lori rempuh tujuh kereta

SEBUAH lori membawa muatan batu merempuh tujuh kenderaan diletakkan di tepi jalan selepas pemandunya diserang sakit jantung di Kilometer 4, Jalan Lopeng Tengah, Miri pagi tadi.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, pemandu lori dikenali Ishak Zainal, 31, disahkan meninggal dunia sejam selepas kejadian ketika menerima rawatan di Hospital Miri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke Bintulu.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai mengalami serangan jantung menyebabkan lori dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan.

"Lori itu kemudiannya merempuh tujuh kereta yang diletakkan di tepi jalan iaitu tiga kereta yang berhenti untuk membeli kuih di gerai tepi jalan manakala empat lagi kereta yang diletakkan di tepi jalan kerana pemandunya solat subuh di surau berdekatan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Miri dan rekod perubatan mendapati dia mempunyai rekod sakit jantung," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata, dua lelaki yang membeli kuih di gerai tepi jalan itu turut mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Miri.

"Tempat kejadian adalah jalan dua hala, garisan tengah bertanda, cuaca adalah baik dan kejadian berlaku pada waktu subuh," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.