Skip to main content

Pemain bass Massa meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama menderita pelbagai komplikasi penyakit, pemain bass kumpulan era 1980-an, Massa, Madi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, jam 6.15 petang tadi.

Berita pemergian Allahyarham Madi atau nama sebenarnya, Hasmadi Abd Hamid disahkan oleh vokalis Massa, Zack.

"Arwah sudah lama sakit. Saya diberitahu arwah dikejarkan ke hospital kerana mengadu tidak tahan dengan sakit perut yang memulas, pagi tadi.

"Adik arwah, Toyee yang juga anggota Masa memberitahu doktor tidak dapat meneruskan pembedahan kerana tekanan darah dan jantungnya terlalu lemah.

"Jika diteruskan risikonya terlalu tinggi," kata Zack kepada BH Online.

Allahyarham Madi (kiri) bersama ahli kumpulan Massa ketika zaman kegemilangan menerusi lagu Patahnya Sayap Malam. Allahyarham Madi (kiri) bersama ahli kumpulan Massa ketika zaman kegemilangan menerusi lagu Patahnya Sayap Malam.

Paling sayu, Zack berkata, arwah tidak sempat menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-56, esok.

"Allah lebih menyayanginya. Kami redha pemergiannya.

"Arwah pernah berkahwin, tetapi bercerai dan tidak dikurniakan anak. Arwah tinggal di rumah bujang bersama adiknya di Taman Sepakat, Kuantan.

"Dia jugalah pencipta lagu Persandingan Abadi dendangan kumpulan Massa," kata Zack.

Jenazah Allahyarham Madi dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Rangin, Kuantan, malam tadi.

Pada era 1980-an, kumpulan Massa pernah popular menerusi lagu Amanda Gadisku dan Patahnya Sayap Malam.

Massa juga memperjuangkan genre rock Melayu. Sebelum ini, bekas vokalis Massa, Zul dan pemain gitar utama, Lan juga meninggal dunia.