--> Skip to main content

Patuhi waktu keluar mengundi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan 22,749 pengundi biasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada Sabtu ini, supaya keluar mengundi mengikut waktu yang digalakkan.

Setiausahanya, Ikmalrudin Ishak, berkata nasihat itu bertujuan mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakan fizikal ketika berada di pusat mengundi.

Katanya, ia selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak COVID-19 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang berkuat kuasa.

"Bagi pengundi yang menerima kad pengundi (voter's card) atau yang sudah mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu lagi membuat semakan di barung semakan SPR. Pada voter's card kali ini, SPR juga meletakkan maklumat 'Masa

keluar mengundi yang digalakkan' bagi setiap pengundi.

"SPR amat berharap pengundi keluar mengundi mengikut 'Masa keluar mengundi yang digalakkan' dan tidak memilih untuk keluar mengundi di saat-saat akhir walaupun waktu mengundi ditetapkan dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, semua pengundi dan pihak terbabit dalam PRK itu diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan garis panduan pencegahan COVID-19 pada hari mengundi nanti.

Beliau bagaimanapun, berkata bagi pengundi yang tidak menerima kad pengundi kerana kemungkinan berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian, disaran membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi.

"Pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

"Kad pengundi dan catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi," katanya.

Pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.

BN mempertaruhkan anak tempatan Slim, Mohd Zaidi Aziz, 43, yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim bagi mempertahan kerusi berkenaan.

Seorang lagi calon adalah peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang bertanding atas tiket Bebas menggunakan simbol pokok mewakili kem bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Seorang lagi calon Bebas, S Santharasekaran, 44, yang juga seorang pesara guru, menggunakan simbol buku.