--> Skip to main content

Pati nak 'balik kampung' kerana tiada kerja ditahan

OP Benteng Zon Utara yang menjaga perbatasan Malaysia-Thailand menghasilkan kejayaan apabila 11 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan selain rampasan 1,200 kilogram daun ketum dan dadah, hari ini.

Tangkapan itu dilakukan di sekitar kawasan Bukit Kayu Hitam, Padang Besar dan Kuala Perlis.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataannya berkata, operasi itu dikoordinasi Markas Briged Keenam Infantri Malaysia dengan kerjasama agensi keselamatan terdiri daripada ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Selain itu, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut menggagalkan usaha Jenayah Rentas Sempadan (JRS) membabitkan lintas sempadan dan penyeludupan ketum.

"Bertindak atas maklumat perisikan dan gerakan daripada pelbagai sudut agensi perisikan dan orang awam, kejayaan dimulakan dengan tangkapan 11 Pati Myanmar di Bukit Kayu Hitam iaitu di dua lokasi berbeza.

"Kumpulan Pati itu yang bekerja di Pahang dan Kedah dipercayai mahu pulang ke Myanmar disebabkan ketiadaan peluang pekerjaan akibat wabak pandemik Covid-19," menurut kenyataan itu, hari ini.

Selain itu, pihak AKSEM dan Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rampasan daun ketum berjumlah 1,200kg serta dadah daripada pelbagai jenis bagi kegunaan sendiri.

Barangan rampasan itu dipercayai untuk diedarkan kepada penduduk setempat di dua lokasi berbeza sekitar Kuala Perlis dan Padang Besar.

"Penggunaan dadah oleh tekong ketum menimbulkan sikap berani sindiket itu ketika berhadapan dengan pasukan keselamatan di perbatasan.

"Tindakan agresif tekong berkenaan yang cuba melarikan diri ketika ditahan berjaya ditumpaskan dengan ketangkasan pasukan keselamatan," katanya.

Selain itu, antara barangan lain dirampas termasuk dua motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton ketika tangkapan dilakukan.

Semua nombor pendaftaran kenderaan adalah nombor pendaftaran Malaysia dan terdapat kenderaan disembunyikan nombor pendaftarannya bagi mengelakkan diri dikesan.