--> Skip to main content

Pasar Seberang Kota tutup sementara

LEBIH 100 peniaga, pekerja termasuk nelayan di Pasar Seberang Kota, Kuala Kedah, di Alor Setar terjejas selepas terpaksa akur dengan arahan penutupan premis perniagaan mereka berkuatkuasa petang semalam bagi mencegah penularan Covid-19.

Peniaga ikan, Khadijah Md Shah, 45, berkata kesemua peniaga di kawasan itu bersedia untuk mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa biarpun mereka kehilangan pendapatan dan menanggung kerugian.

Katanya, selain peniaga ikan, turut terjejas adalah peniaga kedai makan, peniaga buah-buahan, ikan kering dan belacan.

"Ramai juga yang bekerja memgambil upah secara harian di premis perniagaan di sini seperti saya. Saya menerima upah mengikut setiap kilogram ikan yang dijual. Pendapatan harian saya kira-kira RM50.

"Anak saudara yang bekerja sebagai nelayan juga tak dapat turun ke laut hari ini berikutan saya tidak dapat menjual hasil tangkapannya. Kami berharap penularan di kawasan ini dapat dibendung dengan cepat,"katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Abdul Hamid Bahari, berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat hari ini bagi membincangkan mengenai jumlah nelayan yang terjejas.

"Kita belum dapat pastikan berapa jumlah nelayan yang terjejas, saya akan dapatkan maklum balas daripada nelayan yang hadir hari ini,"katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, MBAS mengarahkan semua peniaga di sekitar Pasar Nelayan Seberang Kota ditutup berikutan penularan Covid-19 yang semakin serius di negeri itu.

Datuk Bandar MBAS, Datuk Zaid Ahmad, berkata arahan itu dikeluarkan selaras dengan nasihat oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Sehubungan itu, semua peniaga di sekitar Pasar Nelayan, Seberang Kota dikehendaki menutup premis dan tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan berkuatkuasa serta merta hingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

"Arahan ini diambil atas faktor keselamatan dan kesihatan peniaga serta orang ramai bagi mencegah penularan Covid-19, kami memohon kerjasama semua pihak untuk mengambil peranan bagi membendung wabak ini dengan lebih berkesan," katanya dalam kenyataan di sini.

Zaid berkata peniaga yang gagal atau ingkar dengan arahan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang yang diperuntukkan.