--> Skip to main content

Pasangan dan anak bukan warga negara dibenarkan masuk dengan syarat

PASANGAN dan anak bukan warga negara Malaysia yang tidak mempunyai Pas Jangka Masa Panjang dibenarkan masuk ke negara ini.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Namun, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka diwajibkan untuk memohon Pas Jangka Masa Panjang setibanya di negara ini.

"Bagi Penduduk Tetap, mereka dibenarkan masuk ke Malaysia tanpa perlu membuat permohonan awal.

"Mesyuarat Khas juga bersetuju untuk membenarkan rakyat Malaysia untuk ke luar negara bagi kes kecemasan yang membabitkan ahli keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai perkembangan terkini PKP hari ke-161 dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat khas turut meluluskan prosedur operasi standard (SOP) bagi proses Sign-On dan Sign-Off pekerja pelantar minyak dan gas.

Mengulas lanjut, katanya, bagi proses Sign-On untuk warga negara Malaysia, mereka diwajibkan menjalani ujian calitan sebelum ke pelantar minyak.

"Bagi pekerja bukan warga negara, mereka perlu menjalani ujian saringan serta dikuarantin wajib 14 hari sebelum ke pelantar minyak.

"Bagi proses Sign-Off iaitu dari pelantar minyak ke darat, mereka hanya perlu menjalani ujian saringan dan tidak perlu menjalani kuarantin wajib," katanya.

Sementara itu, katanya, Operasi Sanitasi Awam Covid-19 di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac 2020 sudah melakukan 9,716 operasi sanitasi merangkumi 134 zon.

"Semalam, sebanyak tujuh operasi sanitasi meliputi tujuh Zon termasuk dua Zon Kuning di empat negeri iaitu Sabah, Kedah, Sarawak dan Perlis.

"Operasi sanitasi ini membabitkan 32 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 73 anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi lain. Enam jentera JPBM turut digunakan dalam Operasi Sanitasi Awam," katanya.

Mengenai kuarantin wajib, seramai 16,651 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa bagi tempoh 24 Julai sehingga 24 Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 7,689 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 67 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu dan Labuan.

"Seramai 56 individu pula sudah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 8,906 individu di discaj dan dibenarkan pulang.

"Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama anggota PDRM sudah membuat 543 pemeriksaan mengejut semalam untuk memastikan mereka yang masih menjalani kuarantin di rumah mematuhi SOP ditetapkan.

"Daripada pemeriksaan mengejut itu, seorang individu dikenakan tindakan," katanya.