--> Skip to main content

Pasangan Bercerai Rebut Hak Penjagaan Anak? Ini Pesanan Noor Nabila

Pasangan Bercerai Rebut Hak Penjagaan Anak? Ini Pesanan Noor Nabila Biarpun tidak meneruskan perkahwinan, usahawan selebriti, Noor Nabila Mohd Noor dan bekas suami, pelakon Sharnaaz Ahmad tidak berseteru dalam hal penjagaan anak tunggal mereka, Jebat Jayden.

Ketika diminta untuk memberikan pesanan kepada pasangan yang tidak mempunyai persefahaman dan merebut hak penjagaan anak, kakak kepada pengacara popular Neelofa ini mempunyai pandangan tersendiri.

"Bila sudah berpisah, anak menjadi keutamaan. Semuanya berkenaan dengan anak, bukan sebab diri sendiri.

"Anak merupakan tanggungjawab dan amanah yang Allah berikan. Sebagai ibu bapa, kita harus memberikan hak dia sebagai seorang anak.

"Hak anak kena ada kasih sayang daripada ibu dan bapa. Jadi, kedua-duanya harus bekerjasama biarpun tidak lagi mempunyai persefahaman dalam perkahwinan. Kalau kita menidakkan hak anak, kita berdosa," katanya.

Tambah Nabila yang kini selesa menjalani hidup sebagai ibu tunggal, dia banyak belajar dari episod perceraian yang dilalui sebelum ini.

"Apa yang saya belajar ialah perkahwinan memerlukan dua orang yang mahu ikatan itu kekal.

"Usaha itu datang daripada dua belah pihak, suami dan isteri. Jika satu pihak sahaja, ia tidak okay," katanya lagi.

Nabila dan Sharnaaz sah bercerai pada 9 Julai lalu secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

BACA: Kembali Berjodoh Dengan Sharnaaz Ahmad? Ini Respon Noor Nabila

BACA: Kahwin Lagi? Noor Nabila Tak Serik

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden yang bakal menginjak usia dua tahun Ogos ini.