--> Skip to main content

Operasi SAR mangsa dibaham buaya dihentikan

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki disambar buaya di Sungai Kinabatangan, dekat Kampung Muhibbah Hujung, dihentikan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Kinabatangan, Kapten Ahmad Roslan Mohd Kamel berkata, SAR dihentikan sejak semalam susulan tiada sebarang penemuan berkaitan mangsa sejak hari pertama operasi dijalankan.

Menurutnya, dalam masa sama paras Sungai Kinabatangan meningkat dan arus deras susulan hujan lebat turut membantutkan operasi.

"Peningkatan air sungai dalam beberapa hari SAR membimbangkan pasukan kerana ia menyukarkan pencarian.

"Dalam masa sama, ia memberi risiko kepada pasukan penyelamat. Namun pasukan SAR sudah meningkatkan usaha sepenuhnya dengan meluaskan radius pencarian sehingga 30 kilometer semalam," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, SAR boleh diaktifkan semula pada bila-bila masa sekiranya ada petunjuk baru diterima.

"Kami berterima kasih kepada penduduk kampung, pihak ladang, semua agensi penyelamat yang memberi bantuan sepanjang SAR dijalankan," katanya,

Rabu lalu, Asmin Abdullah, 8, turun ke Sungai Kinabatangan bersama ayahnya untuk menurunkan bot dan mandi.

Mangsa kemudiannya disambar buaya dan ketika ditarik masuk ke dalam air sungai ayah mangsa sempat melihat kejadian menyayat hati berkenaan.

Berita berkaitan

• Budak disambar buaya belum ditemui

• Nampak anak dalam mulut buaya