--> Skip to main content

'31 Ogos tarikh istimewa kami'

SETIAP tahun, Mohamad Asri Arshad, 33, bangga apabila dapat menyambut hari kelahirannya yang sama dengan tarikh bersejarah negara iaitu Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.

Namun apa yang lebih istimewa apabila tarikh itu turut dikongsi isterinya, Nur Irkhas Hazmi, 28, dan kakak sulungnya, Salmah, 46, yang lahir pada tarikh yang sama namun tahun berlainan.

Malah ibu Mohamad Asri iaitu Sabiah Ahmad, 63, turut dilahirkan pada 31 Ogos 1957 namun masalah teknikal ketika zaman itu menyebabkan ia direkodkan 23 November 1957.

Mohamad Asri yang bertugas sebagai pegawai penjara di Penjara Pokok Sena, Kedah ketika ditemui berkata untuk sambutan tahun ini mereka menyambutnya lebih awal kerana dia perlu kembali bertugas.

"Ketika ini saya tinggal berjauhan dengan isteri dan anak-anaknya. Saya di Kedah manakala isteri bertugas di Klinik Kesihatan Balok di Lanchang, Pahang.

"Tahun ini saya tidak dapat bercuti pada tarikh istimewa itu. Oleh itu saya mengambil keputusan untuk menyambutnya lebih awal.

"Dalam masa yang sama turut meraikan isteri dan kakak saya yang berkongsi tarikh yang sama," katanya.

Bagi menimbulkan kelainan, Mohamad Asri berkata dia bersama isteri dan kakak memakai pakaian seragam masing-masing.