--> Skip to main content

Nelayan Vietnam serang hendap APMM dahulu

NELAYAN Vietnam yang menceroboh perairan negara hingga seorang daripada mereka maut ditembak menyerang hendap pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), terlebih dahulu.

Pengakuan itu dibuat Pengarah APMM Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob apabila memaklumkan bot Penyelamat 7 yang membuat operasi Ops Kuda Laut diserang bertubi-tubi oleh dua bot dinaiki 19 awak-awak termasuk dua tekong bot itu.

Muhd Nur Syam berkata, kebiasaannya bot nelayan asing terutama bot Vietnam akan melarikan diri sebaik ternampak bot APMM, namun dua bot berkenaan bertindak sebaliknya apabila hanya membiarkan bot APMM menghampiri bot mereka.

Beliau berkata, sebaik bot APMM berada dekat, nelayan Vietnam itu membaling bom petrol dan diesel ke arah pegawai dan anggota serta bot APMM.

"Mereka turut membaling getah dinyalakan api dengan niat mahu membakar bot APMM selain turut mencampak alatan keras seperti besi dan kayu.

"Melihat situasi mengancam nyawa, APMM melepaskan beberapa das tembakan ke udara, namun mereka masih bertindak ganas dan tembakan dihalakan ke kapal sebelum berlaku kejadian tidak diingini apabila serpihan tembakan amaran itu terkena salah seorang kru nelayan asing itu," katanya pada sidang media di Perairan Tok Bali, Pasir Puteh, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua bot nelayan asing itu bertindak mahu menyerang bot APMM kerana beranggapan saiz mereka yang dua kali ganda mampu menumpaskan bot APMM.

Bagaimanapun, katanya, tindakan mereka gagal apabila kecekapan APMM berjaya menangkis serangan mereka dan menyebabkan dikejar selama satu jam.

"Sebaik rakan mereka terkena tembakan, barulah mereka menyerah kalah dan kami berjaya tangkap mereka dengan hasil tangkapan membabitkan nilai bot dan hasil laut negara dicuri bernilai RM2 juta membabitkan ikan, udang dan sotong.

"Mereka ditangkap pada jarak lebih kurang 81 batu nautika atau 150 kilometer daripada muara Tok Bali.

"Kami terpaksa melepaskan tembakan bagi menjaga keselamatan nyawa anggota dan menjaga aset negara, malah tindakan ganas mereka turut menyebabkan bot mengalami kerosakan di bahagian badan bot, cermin pecah dan cubaan yang memang berniat mahu menghapuskan kami yang menjalani operasi mengekang aktiviti kecurian hasil laut negara," katanya.

Muhd Nur Syam berkata, kedua-dua bot berkenaan ditunda ke Jeti APMM Tok Bali dan tiba di jeti 3.45 petang hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua bot tidak memiliki permit menangkap ikan mengikut Akta Perikanan 1985.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang membawa hukuman denda sehingga RM6 juta ke atas tekong dan RM600,000 ke atas awak-awak serta Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(1)(c) yang membawa denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih daripada enam sebatan.

APMM akan menyiasat dan menuduh awak-awak mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Tangkapan itu menjadikan tangkapan ke 30 dan 31 operasi Ops Kuda Laut bagi mengekang jenayah pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing.

Berita berkaitan

• 'Nelayan Vietnam maut ditembak APMM [METROTV]'