--> Skip to main content

Nelayan Vietnam maut ditembak APMM

NELAYAN Vietnam maut terkena tembakan pihak berkuasa selepas dipercayai bot dinaiki menceroboh perairan negara, malam tadi.

Kejadian berlaku di perairan Tok Bali, Pasir Puteh, kira-kira 81 batu nautika dari jeti menyebabkan warga Vietnam berusia 30-an itu meninggal dunia.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafein Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 11.40 malam memaklumkan mengenai kejadian itu.

"Ketika ditahan, berlaku provokasi menyebabkan anggota APMM melepaskan tembakan.

"Tembakan itu terkena di bahagian badan mangsa dan mayat dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk proses bedah siasat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Shafein berkata, dalam bot nelayan asing yang ditahan sempena Op Kuda Laut itu dinaiki 12 lagi nelayan dan APMM membawa mereka ke jeti Tok Bali manakala usaha membawa balik bot sedang diusahakan.

Beliau berkata, setakat ini tiada penahanan anggota APMM dibuat dan pihaknya masih menunggu laporan lanjut bagi meneruskan siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 39(a) Akta Senjata Api 1960," katanya.