--> Skip to main content

Negeri Sembilan lupus dadah RM9.2 juta

JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM9.2 juta.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, ia membabitkan dadah yang dirampas dalam tempoh 2006 hingga 2019.

Menurutnya, ia membabitkan barang kes bagi 1,913 kertas siasatan dan sudah selesai perbicaraan.

"Antara dadah yang dilupuskan ialah heroin sebanyak 5,109 gram, ganja (2,004 gram), cecair ganja (20 mililiter), syabu (1,746 gram), pil yaba (1.19 gram), methadone (0.6 mililiter) dan 257 peralatan memproses dadah.

"Kesemua barang kes itu akan dilupuskan di Pusat Kualiti Alam di Sendayan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan selepas penyerahan 17 kenderaan MPV jenis Honda Civic kepada semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Negeri Sembilan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, prestasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini semakin meningkat.

Menurutnya, pegawai dan anggota melakukan tangkapan membabitkan dadah sebanyak 3,746 iaitu pengedar dadah (557), pemilikan dadah (1,107) dan penagih dadah (2,082), manakala jumlah anggaran nilai rampasan dadah sebanyak RM8.6 juta dan nilai sitaan aset pengedar pula berjumlah RM3.3 juta.

"Kami serius membanteras dadah dengan memfokuskan tangkapan kepada pengedar dadah selain melumpuhkan ekonomi mereka dengan menyita aset yang dimiliki," katanya.