--> Skip to main content

Nasib baik jiran cepat bantu

NENEK dan dua cucunya terselamat apabila rumah mereka di Kampung Baru Rompin, Jempol, terbakar dalam kejadian, 11.30 pagi, hari ini.

Patemah Gedik, 78, berkata dia sedang menyiram pokok bunga sebelum melihat asap asap dari bilik belakang rumah sebelum bergegas masuk ke dalam kediaman itu untuk mengambil dokumen berharga.

"Sebelum itu, dua cucu yang juga adik-beradik Muhamad Iqbal Mohd Nizam, 8, dan Nur Jannah, 5, melarang saya masuk ke dalam rumah disebabkan saya tidak boleh berjalan dengan laju kerana masalah kesihatan.

"Mujur jiran di hadapan rumah datang membawa saya keluar dari rumah yang sedang dijilat api kerana jika terlambat, tidak tahulah macam mana nasib saya," katanya.

Patemah berkata, biarpun semua harta benda dan pelbagai dokumen musnah, dia tetap bersyukur kerana mereka terselamat dalam kejadian itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram Padang, Datuk L Manickam turut melawat mangsa dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

Sementara itu, Komander Operasi Timbalan Penguasa Bomba Rozlan Seman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.36 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

"Operasi pemadaman dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bahau dan BBP Seri Jempol membabitkan 13 anggota.

"Kami mengambil masa 20 minit bagi memadam api sepenuhnya. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.