--> Skip to main content

Najib dan peguam gagal gugurkan Sri Ram

DATUK Seri Najib dan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah gagal dalam permohonan semakan kehakiman untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kes berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dihadapi mereka.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas mendapati pelantikan Sri Ram oleh Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas adalah sah mengikut Seksyen 376(3) Kanun Acara Jenayah.

Mariana dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati tiada sebarang bukti bahawa Tommy Thomas tersalah arah dalam melantik Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan.

Beliau berkata, mahkamah juga mendapati Tommy tidak bertindak melangkaui tanggungjawab dan tugas perlembagaannya dalam pelantikan itu.

Katanya, mengikut Seksyen 376(3), Peguam Negara boleh melantik individu yang layak dan boleh melaksanakan hak dan kuasa mengikut mana-mana undang bertulis serta boleh menentukan timbalan pendakwa raya sebagai timbalan pendakwa raya kanan.

"Mahkamah tidak setuju dengan pemohon bahawa Seksyen 376(c) KAJ menyatakan bahawa maksud individu yang sesuai dan berkelayakan mestilah seorang penjawat awam.

"Lagipun Seksyen 376(3) menyatakan pelantikan itu mesti dilaksanakan oleh Peguam Negara, jadi beliau ada budi bicara tunggal untuk melantik Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan.

"Sebagai rumusan, Peguam Negara mengambil pertimbangan sewajarnya dalam melantik Sri Ram untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes 1MDB," katanya.

Najib dan Tan Sri Muhammad Shafee memfailkan semakan kehakiman secara berasingan pada Disember tahun lalu dengan menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, kerajaan Malaysia dan Sri Ram selaku responden.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan mengatakan surat pelantikannya tidak sah.

Mereka turut memohon perisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan Sri Ram dan memohon suatu perintah untuk melarang beliau (Sri Ram) daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes mereka termasuk berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Sementara itu, Mariana berkata, tiada peruntukan yang menunjukkan bahawa pelantikan Sri Ram mesti diwartakan.

Hakim itu turut memerintahkan supaya Najib dan Muhammad Shafee masing-masing membayar kos RM10,000 kepada responden.