--> Skip to main content

Naik bas ekspres lepas mencuri barangan RM100,000

SEORANG lelaki tidak sempat menaiki bas ekspres untuk ke Kuala Lumpur selepas ditahan polis dalam tempoh kurang 48 jam selepas memecah sebuah rumah di Ketereh, Kota Bharu, kelmarin.

Dia ditahan di stesen bas Lembah Sireh pada 8 malam semalam ketika mahu menaiki bas dipercayai untuk melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, suspek berusia 25 tahun ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu susulan laporan dibuat mangsa.

"Mangsa seorang guru berusia 51 tahun dan suaminya tiada di rumah ketika suspek memecah masuk masuk kira-kira 4 petang Sabtu lalu serta melarikan pelbagai barangan berharga dianggarkan bernilai RM100,000.

"Insiden disedarinya sebaik pulang ke rumah pada 9.15 malam dan antara barang yang hilang adalah dua gelang emas, dua rantai tangan emas dan lima cincin emas selain mata wang asing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pihaknya melakukan siasatan di kediaman itu tidak menemui kesan umpil di mana-mana pintu mahupun tingkap rumah mangsa.

"Namun anggota forensik menemui tujuh cap jari suspek yang mendorong kepada penahanannya," katanya yang memberitahu suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau termasuk berkait dadah.

Beliau berkata, barang kemas dan wang asing milik mangsa turut ditemui, manakala suspek ditahan reman empat hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.