--> Skip to main content

MUIP galak rakyat wakaf tanah

KESEDARAN mewakafkan tanah di Pahang masih dianggap rendah berbanding beberapa negeri seperti Selangor dan Johor.

Pegawai Ekonomi Kanan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Izhar Ahmad berkata, hanya 378 individu berbuat demikian membabitkan tanah seluas kira-kira 142 hektar.

Katanya, pelbagai program kesedaran untuk mewakafkan tanah diadakan namun penerimaan masyarakat di masih lagi rendah, walaupun negeri ini luas.

Izhar menambah, usaha MUIP membina perumahan dengan jualan harga yang berpatutan untuk golongan berpendapatan rendah kini terbantut berikutan tanah wakaf yang terhad. Harga tanah tinggi menjadi faktor utama harga rumah melambung tinggi.

"Kesedaran menyumbang kepada tabung dana wakaf boleh dikatakan tinggi dan memuaskan apabila jumlah terkumpul lebih RM1 juta. Hampir setiap tahun jumlah penyumbang bertambah.

"Banyak faktor menyebabkan dana wakaf di negeri ini bertambah antaranya kesedaran bertambah di kalangan masyarakat Islam termasuk bertambahnya pendapatan golongan terbabit," katanya pada Majlis Penyerahan Mok Cek dan Jamuan Makan Malam Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Permatang Pauh yang disempurnakan Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkifli di diPekan, semalam.

Hadir sama Pengerusi JKKK Kampung Permatang Pauh, Mohd Nasrul Hakim Mat Daud.

Katanya, MUIP kini memiliki sumber kewangan kukuh hasil perniagaan pasar raya, hotel, ladang kelapa sawit dan hospital.

"Sebagai contoh bagi meringankan beban golongan asnaf di negeri ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebanyak RM15 juta bantuan keperluan harian disediakan yang diagihkan secara berperingkat," katanya.

Sementara itu Mohd Nasrul Hakim berkata, pihaknya menerima bantuan RM30,000 daripada MUIP bagi kegunaan menarik taraf tanah perkuburan Al Hidayah di Kampung Permatang Pauh.

"Bantuan berkenaan akan digunakan untuk membina pagar di kawasan tanah perkuburan hasil tanah wakaf, kita akan berusaha menjadikan tanah perkuburan yang tersusun dan menarik," katanya.