--> Skip to main content

Mudahnya kena tipu RM357,000

SEORANG pemilik syarikat pertanian berputih mata apabila kerugian RM357,000 ditipu pemilik tanah palsu di Ayer Hitam, Batu Pahat.

Mangsa berusia 50-an dikatakan mencari tanah pertanian untuk dipajak dan diusahakan dengan tanaman tebu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Asisten Komisioner Mohd Salleh Abdullah berkata, mangsa kemudian berkenalan dengan seorang broker tanah.

Katanya, broker tanah berkenaan kemudian memperkenalkan mangsa dengan seorang lelaki berusia 50-an yang kononnya memiliki 100 hektar tanah pertanian di Ayer Hitam.

"Mangsa dan pemilik tanah berkenaan dikatakan menandatangani perjanjian pajakan tanah pada Mac lalu dengan menyerahkan bayaran sebanyak RM357,000.

"Namun syarikat mangsa kemudian membuat semakan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menerusi Bahagian Industri Tanaman, Ternakan dan Perikanan di Putrajaya.

"Malangnya mangsa mendapati tanah berkenaan adalah milik Persekutuan dan bukan milik lelaki berkenaan sebagaimana didakwanya," katanya.

Mangsa yang terpedaya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Hitam, semalam.

Mohd Salleh berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam kes berasingan, seorang pesara kerajaan rugi RM103,500 diperdaya sindiket 'love scam' yang menyamar sebagai wanita British.

Mohd Salleh berkata, mangsa yang berusia 60 tahun berkenalan dengan wanita itu di Facebook sebelum terpaut hati dengan kenalan baharunya itu.

"Suspek menawarkan hadiah wang tunai Euro 56,000 (RM276,223.65) sebagai tanda persahabatan.

"Kemudian, ejen penghantaran kurier menghubungi mangsa meminta bayaran cukai sebanyak RM103,500 dijelaskan dahulu kerana terdapat wang tunai dalam bungkusan yang dikirim kepadanya mangsa.

"Selepas mangsa membuat pembayaran, wanita itu menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi menyebabkan mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, semalam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Salleh berkata, masyarakat sentiasa berwaspada dengan tidak mempercayai individu yang dikenali melalui laman sosial atau berurusan berkaitan hartanah dengan menyemak dengan pihak berkuasa sebelum membuat sebarang transaksi meragukan.