--> Skip to main content

Muafakat Nasional untuk penyatuan, bukan politik - Mohamad

SLIM RIVER : Muafakat Nasional (MN) diwujudkan bukan berasaskan politik, sebaliknya ia dibina dengan meletakkan penyatuan ummah sebagai keutamaannya.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata selepas MN berjaya menyatukan orang Melayu untuk bersatu di bawah satu bumbung, langkah seterusnya adalah menyatukan pula kaum-kaum yang lain.

"Sesiapa yang berminat untuk bersama, berminat untuk melihat penyatuan rakyat berbilang kaum, kita tak tutup pintu. Kita mahu bila rakyat bersatu padu akan ada kestabilan politik. Orang (pelabur) akan datang bawa bekal (pelaburan) ke negara kita.

"Orang (pelabur) tidak akan datang ke negara yang tak stabil politiknya, takut modal mereka akan hilang. Jika negara stabil, orang akan datang berlumba-lumba. Dua tahun sudah... malang sekali, bila Pakatan Harapan (PH) datang, menjunam ekonomi kita. Sebab mereka (pelabur) lihat tidak ada kestabilan politik kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Dewan Semai Bakti, FELDA Trolak Selatan, malam tadi.

Yang turut hadir Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mohamad berkata, sejak hari pertama PH memerintah sehingga jatuhnya kerajaan, isu siapa mahu jadi Perdana Menteri tidak pernah berhenti.

"Hari pertama sudah sembang siapa nak jadi Perdana Menteri. Seorang nak jadi Perdana Menteri sampai mati, seorang lagi nak jadi Perdana Menteri sebelum dia mati.

"Bila tidak ada persetujuan, maka bergaduhlah. Bukan kerana nak mentadbir negara, nak mensejahterakan rakyat, tapi kerana ada cita-cita dan agenda tertentu," katanya.