--> Skip to main content

MP Ipoh Timur dilantik Pengerusi PAC

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh, dipilih menggantikan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan, ketika mengusulkan pemilihan itu di Dewan Rakyat hari ini berkata, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun, dilantik Naib Pengerusi Kah Woh yang sebelum ini memegang jawatan itu.

Usul itu diterima sebulat suara oleh ahli Dewan.

Usul itu menarik perhatian beberapa Ahli Parlimen yang bangun memberi pandangan dan cadangan mengenai penambahbaikan untuk memantapkan PAC.

Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau) mencadangkan prosiding PAC dibuat secara terbuka seperti siaran langsung supaya rakyat tahu apa yang berlaku dalam prosiding itu.

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) menggesa anggota PAC mengesan dengan lebih teliti ketirisan yang berlaku dalam kementerian dan agensi kerajaan.

"Ada banyak lagi ketirisan dan pembaziran yang ditinggalkan, terutama apabila berlaku pertukaran pegawai kerajaan dalam kementerian atau agensi terbabit.

"Pengesanan oleh PAC belum sampai ke tahap boleh menyelamat duit kerajaan atau rakyat akan pembaziran dan ketirisan yang berlaku," katanya.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, PAC perlu diperkasakan dan diberi kuasa autonomi yang bukan hanya boleh memberi teguran tetapi juga kuasa mengambil tindakan terhadap kementerian atau agensi yang tergelincir dari landasan sepatutnya.

Takiyuddin ketika menggulung usul itu berkata, semua pandangan dan nasihat akan diambil perhatian oleh pucuk pimpinan baharu sebagai panduan dalam menjalankan tugas. - BERNAMA