--> Skip to main content

#MomenNegaraku semarak Hari Kemerdekaan

KUALA LUMPUR: Meskipun tiada perarakan atau acara sambutan secara gilang gemilang tahun ini, tidak semestinya Hari Kemerdekaan 2020 tidak dapat disambut dengan meriah.

Ekoran itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, menyahut rakyat Malaysia untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan tahun ini dengan perkongsian foto ekspresi kemerdekaan di platform media sosial melalui kempen #MomenNegaraku.

"Ini adalah seiring dengan usaha mahu menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan dalam normal baharu.

"Ya, memang betul kita tiada perhimpunan, perarakan dan sebagainya, tetapi itu bukanlah alasan tak boleh menyambut dengan gilang gemilang.

"Di sini, saya cabar rakyat Malaysia untuk menyertai kempen #MomenNegaraku, di mana anda semua boleh memuat naik karya kreatif seperti video, foto, ucapan, teks, nyanyian, lakonan, malah tarian unik dengan menyatakan semangat kenegaraan. Carilah idea terbaik untuk menyatakan bahawa kita sayangkan negara seperti anda boleh memakai pelitup muka jalur gemilang," katanya kepada BH Online.

Idham berkata, kempen #MomenNegaraku adalah inisiatif Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, yang mahukan rakyat Malaysia menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan 2020, meskipun hanya dari rumah.

"Beliau tahu tak boleh keluar rumah untuk menyambut perayaan seperti biasa, jadi semua boleh jadi kreatif untuk memastikan semangat kenegaraan tidak pudar.

"Menjelang 31 Ogos, macam-macam idea boleh dilakukan untuk semarakkan sambutan dan pada masa, memupuk perpaduan antara kita.

"Hari ini semua orang ada laman sosial, jadi mengapa tidak kita menggunakan platform ini untuk meraikan hari yang penuh bermakna buat negara," katanya.

Kempen #MomenNegaraku bertujuan supaya rakyat Malaysia dapat berkongsi saat terindah mereka sebagai rakyat Malaysia dengan menggunakan tanda pagar (#) pada setiap hantaran gambar di media sosial.