--> Skip to main content

Mohd Khairuddin sedang beri keterangan

KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali diambil keterangan berhubung siasatan melanggar arahan kuarantin wajib selepas beliau pulang dari Turki pada 7 Julai lalu, jam 8 malam tadi.

Beliau dipercayai masuk ke Bukit Aman dan berjaya mengelak daripada sekumpulan wartawan dan jurugambar yang menunggunya sejak jam 4 petang tadi.

Sebelum ini, menurut Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, ketika dihubungi, memaklumkan Khairuddin berada di Bukit Aman.

"Keterangan beliau sedang diambil," katanya ringkas.

Media sebelum ini melaporkan polis mahu merakam keterangan Khairuddin bagi membantu siasatan berhubung kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari luar negara.

Ahad lalu, BH melaporkan polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Khairuddin kerana gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah susulan 27 laporan polis yang diterima di seluruh negara berhubung perkara itu.

Kementerian Kesihatan dilaporkan menyerahkan kertas siasatan dalaman pihaknya berhubung isu pelanggaran kuarantin oleh Khairuddin kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mohd Khairuddin turut dikompaun oleh kementerian sebanyak RM1,000 atas kesalahan itu.