--> Skip to main content

Mitos lama karya akhir

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Datuk Seri Shah Rezza menyifatkan kerjasama bersama pengarah drama, Allahyarham Raja Ahmad Alauddin Raja Mohamed Redzuan untuk telefilem, Tuan Petri Saadong sebagai kenangan terindah.

Bagaimanapun, Shah Rezza sedih arwah Raja Ahmad Alauddin tidak sempat melihat karya arahannya disiarkan di kaca televisyen apabila menghembuskan nafas terakhir pada 29 Ogos, tahun lalu.

Telefilem terbitan Nusantara Gems Sdn Bhd itu menemui penonton sebanyak dua siri bermula malam ini dan esok, jam 9 malam menerusi saluran Astro Citra serta Citra HD.

"Jika arwah masih hidup, saya yakin beliau pasti bangga karya arahan akhirnya menemui peminat sejarah mitos lama. Ini adalah kali pertama dan terakhir produksi saya menggunakan khidmatnya.

"Arwah berdarah kerabat, pasti merasakan keterujaan seperti saya, apatah lagi beliau tidak pernah mengarahkan genre seumpama ini.

"Kerja dengannya cukup lancar. Arwah sangat membantu dalam menyempurnakan idea dan permintaan saya dalam memastikan telefilem ini terlihat santun dan mempesonakan," katanya yang pernah membintangi filem pertama arahan arwah iaitu Hati Bukan Kristal pada 1989.

Penerbit, Datuk Seri Shah Rezza menganggap bekerjasama dengan Allahyarham Raja Ahmad Alauddin sebagai kenangan terindah ketika menjalani penggambaran telefilem Tuan Petri Saadong. - Foto Datuk Seri Shah Rezza Penerbit, Datuk Seri Shah Rezza menganggap bekerjasama dengan Allahyarham Raja Ahmad Alauddin sebagai kenangan terindah ketika menjalani penggambaran telefilem Tuan Petri Saadong. - Foto Datuk Seri Shah Rezza

Mengangkat kisah fiksyen dan sejarah lama srikandi dari Kelantan, Shah Rezza cuba mengangkat suasana negeri Cik Siti Wan Kembang pada abad ke-17 dengan pakaian dan peralatan berusia ratusan tahun.

Shah Rezza berkata, ada koleksi yang digunakan untuk penggambaran milik peribadi dan koleksi kerabat diraja Kelantan.

"Saya menanti selama dua tahun telefilem ini disiarkan. Penggambaran mengambil masa selama dua bulan sekitar Lembah Klang dan Pahang. Kami juga memilih dua lokasi bersejarah yang pernah dijejaki Tuan Petri Saadong di Sungai Pangkalan Datu dan Bukit Marak di Kelantan.

"Biarpun berdepan pelbagai rintangan, namun saya bangga akhirnya telefilem, Tuan Puteri Saadong menemui penonton.

"Saya melaburkan wang lebih 1 juta untuk kos penggambaran telefilem ini kerana banyak menggunakan pelakon tambahan, binatang dan kostum," katanya kepada BH Online.

Dua pelakon kelahiran Kelantan, Pekin Ibrahim dan Oktovia Manrose dipilih sebagai watak utama dalam telefilem Tuan Petri Saadong arahan arwah Raja Ahmad Alauddin. - Foto Datuk Seri Shah Rezza Dua pelakon kelahiran Kelantan, Pekin Ibrahim dan Oktovia Manrose dipilih sebagai watak utama dalam telefilem Tuan Petri Saadong arahan arwah Raja Ahmad Alauddin. - Foto Datuk Seri Shah Rezza

Biarpun dilahirkan di Perak, namun pernah dibesarkan dalam keluarga kerabat Almarhum Sultan Yahya Petra di Istana Kota Lama, Kota Bharu, Shah Rezza berkata, dia optimis mengangkat kisah berkenaan.

"Persatuan Kerabat Raja Jembal Kelantan banyak membantu dalam merealisasikan projek telefilem ini hingga berjalan lancar.

"Alhamdulillah, takjub dan teruja juga melihat keajaiban depan mata saat penggambaran diadakan di dua lokasi yang pernah dijejaki Tuan Petri Saadong. Penjaga lokasi memberitahu, ada produksi yang mahu melakukan penggambaran berdepan ujian dan masalah.

"Sebaliknya, produksi saya pula berjalan lancar. Saya terkejut, tetapi dalam masa yang sama, bersyukur," katanya yang melakukan kerja penyuntingan telefilem ini ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Telefilem berkenaan diterajui Oktovia Manrose sebagai Tuan Petri Saadong dan Pekin Ibrahim sebagai Raja Abdullah. Antara pelakon lain yang terbabit termasuklah Sasqia Dahuri (Cik Siti Wan Kembang), Mustapha Kamal (Raja Loyor), Shatira Amanda (Nan Cayang), Datuk TS Jeffrey (Raja Siam), Afiq Muiz (Raja Abdul Rahim), Zarul Umbrella (Sang Raja Sakti), Fizo Omar (Raja Ahmad), Bea Rameshan (Melur) dan ramai lagi.