--> Skip to main content

Messi tidak akan ke Anfield - Klopp

LONDON: Jurgen Klopp mengesahkan Liverpool 'tiada peluang' menandatangani Lionel Messi, namun mengakui kehadiran bintang Barcelona itu akan merancakkan lagi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Messi sudah menyatakan hasratnya untuk meninggalkan kelab Catalan itu selepas kecewa dengan masalah yang dihadapi Barcelona di dalam mahupun di luar padang.

Bintang Argentina itu dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City sekali gus bergandingan semula dengan Pep Guardiola selain beberapa kelab lain turut berminat seperti Paris Saint-Germain (PSG), Inter Milan dan Juventus.

Klopp mendedahkan dia mahu memiliki pemain itu tetapi dia berpendapat Messi tidak akan ke Anfield.

"Berminat? Siapa yang tidak mahukan Messi dalam pasukan mereka? Tetapi tidak untuk Liverpool," kata Klopp.

Bekas pengendali Borussia Dortmund itu juga percaya kehadiran Messi pasti akan menjadikan persaingan EPL lebih sengit jika dia menyertai Manchester City.

"Sudah tentu ia akan membantu City dan membuatkan mereka lebih sukar untuk ditewaskan. Ia hebat untuk EPL tetapi saya tidak pasti kalau EPL memerlukan perkara seperti itu," katanya.

- AFP