--> Skip to main content

Meriahkan Jom Heboh di Rumah bersama McDelivery

SAMBUTAN Karnival Jom Heboh anjuran Media Prima Berhad (MPB) menampilkan kelainan apabila diadakan secara langsung di TV9 selama dua hari bermula 29 dan 30 Ogos ini.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia, Michael Chan berkata, acara itu dimeriahkan dengan kehadiran McDonald's Malaysia selaku penaja utama, sekali gus menyaksikan ia dinamakan Jom Heboh Di Rumah bersama McDelivery.

"Bagi pihak Media Prima Omnia, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada McDonald's Malaysia atas kolaborasi Jom Heboh Di Rumah bersama McDelivery.

"Ia membuktikan tiada halangan untuk berinteraksi secara langsung dengan penonton setia kami walaupun tidak dapat menganjurkan acara padang popular ini secara fizikal dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kolaborasi di alam maya dan lintas langsung di TV9 itu menerima sambutan hebat daripada rakan penaja lain dan selebriti tanah air popular yang turut serta.

Menurutnya, sehubungan itu, pihaknya berharap penampilan baharu ini akan mendapat sambutan daripada peminat setia Jom Heboh.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, acara tahunan itu akan diteruskan dengan suasana berbeza dan dipanggil sebagai Jom Heboh Di Rumah bersama McDelivery bersesuaian dengan suasana masa kini.

Katanya, dalam situasi norma baharu kini, penggunaan teknologi perlu dimanfaatkan seperti penganjuran konsert serta bersukan secara dalam talian dan perjumpaan menerusi aplikasi tertentu.

"Begitu juga dengan Jom Heboh Di Rumah ini, kita akan menganjurkannya menerusi televisyen. Pengunjung terutama penonton setia kami tidak perlu untuk bersusah payah berpanas dan berhujan serta keletihan untuk berhibur bersama kami.

"Mereka hanya perlu membuka siaran TV9 yang akan menyiarkan keseluruhan aktiviti meriah Jom Heboh Di Rumah bersama McDelivery selama dua hari berturut-turut.

"Selain itu, jangan lupa untuk bersama-sama kami menghitung detik 12 malam bagi menyambut Hari Kebangsaan di TV3 dan laman sosial Facebook TV3 Malaysia pada 11.30 malam," katanya.

Antara artis dan selebriti turut serta dalam acara itu adalah Sharifah Shahirah, Elly Mazlein, Riena Diana, Ayie Floor 88, Dayang Nurfaizah, Siti Sarah, Black, Indah Ruhaila, Nana Mahazan, Ara Johari, Syamel, Nabila Razali, Nazim Othman, Amelia Henderson, Naim Daniel, Hael Husaini, Wany Hasrita, Kaka Azraff dan ramai lagi.

Selain McDonald's Malaysia sebagai penaja utama, Jom Heboh Di Rumah bersama McDelivery turut dimeriahkan dengan kehadiran penaja bersama Huawei serta rakan niaga lain seperti Coffex, Tealive, CJWOWSHOP, Proton, Big Points dan Paya Indah Discovery Wetlands by Gamuda Cove.

Orang ramai berpeluang untuk memenangi wang tunai dan baucar tunai bernilai RM20,000 daripada McDonald's dalam peraduan bermula 25 hingga 30 Ogos ini pada 6 petang.