--> Skip to main content

Merdekakah kita selagi perang tak dijenayahkan?

SUATU yang agak cliche apabila kita dengar ajakan dan teguran agar semua bebas daripada belenggu pemikiran Barat yang merosakkan. Nasihat ini tidak pernah salah dan tidak pernah tidak berharga.

Namun, kita juga tidak boleh lupa asas yang paling utama, iaitu usaha mengelakkan atau paling tidak mengurangkan 'pergaduhan fizikal' antara sesama manusia.

Dalam skala kecil, pergaduhan boleh jadi dalam bentuk pertelingkahan politik dalam sempadan negeri atau negara atau dalam skala besar dalam bentuk peperangan antara negara.

Jika disebut 'perang', mungkin ramai antara generasi muda hari ini mencebik bibir sahaja. Puncanya kerana tidak biasa dengan terma itu, tidak pernah merasai, malah begitu jauh daripada kejadian perang, terutama yang menetap di negara aman dan harmoni seperti Malaysia.

Namun, dalam ketenangan semasa, perlu disedari ada bahagian lain di dunia sedang bertempur dan bersabung nyawa dalam peperangan yang menyakitkan. Bagaimanakah untuk kita sedarkan anak muda bahawa keamanan itu bukan datang secara automatik, malah perlu diusahakan?

Keamanan tidak datang bergolek, begitu juga halangan daripada peperangan. Kedua-duanya memerlukan usaha untuk mencapai dan mengelakkannya.

Dari segi undang-undang, membunuh seorang manusia itu salah dan di sesetengah negara, dihukum bunuh pembunuhnya.

Namun, dalam konteks peperangan, mengapakah tidak salah membunuh ratusan atau ribuan manusia tidak bersalah, malah negara yang menang dalam peperangan diraikan sebagai 'hero' kerana berjaya mendaulatkan negara mereka?

Sungguhpun pelbagai hujah diberikan pada peringkat antarabangsa yang membenarkan peperangan, logik akal manusia yang meraikan kebenaran pasti dengan mudah menolaknya.

Apa lagi jika kita tahu dan boleh berempati terhadap mangsa perang Bosnia misalnya, yang mana tiket peperangan membenarkan segala bentuk penderaan 'dibenarkan' termasuk perkosaan, malah ibu mengandung disula individu yang mereka kenali atau rakan sekampung sendiri.

Inikah kemanusiaan? Inikah yang kita mahukan andai kita tidak mengusahakannya daripada hari ini? Namun benar, inilah yang berlaku apabila peperangan tercetus, bernoktahnya keamanan.

Segala yang tidak boleh bertukar menjadi boleh, untuk menentukan siapa yang menang dan siapa yang kalah. Negara yang kalah memang binasa, manakala yang menang bukan hanya menang secara fizikal dan politiknya, tetapi juga ekonomi dan psikologi.

Runtuhan psikologi negara yang kalah pula bukan setahun dua, kesannya hingga bergenerasi. Dapat kita lihat kesan Perang Vietnam contohnya berparut hingga hari ini dalam kalangan warga negara itu yang masih hidup baik dari segi fizikal mahupun mental. Maka, apa perlu dilakukan sekarang sekurang-kurangnya dua tindakan ini.

Pertama, kerajaan setiap negara perlu mewartakan perang sebagai jenayah. Memandangkan kerajaan yang membenarkan peperangan, maka dalam hal ini, kuasa kerajaan jugalah yang membolehkan perang diharamkan.

Kedua, kesedaran pada peringkat individu melalui gerakan literasi keamanan. Hujah gerakan ini ialah jika merancang dan melancarkan peperangan itu memerlukan persiapan rapi, apatah lagi merancang keamanan.

Pengarah Literasi Keamanan dan bekas askar Amerika Syarikat (AS) dalam Perang Iraq, Paul Chappell, menghujahkan manusia tidak dilatih dengan kemahiran untuk hidup dengan aman dan dalam suasana keamanan. Ini menjadikan manusia mudah terpengaruh dengan propaganda dimomokkan negara mereka sendiri (seperti warga AS misalnya) bahawa peperangan itu adalah sesuatu yang perlu.

Lalu apa lagi perlu kita fikirkan? Islam sendiri menegaskan asas utama dalam Islam adalah kedamaian. Andainya tiada orang lain menentang peperangan, orang itu haruslah umat Islam. Ini selari ajaran Rasulullah SAW kepada sahabatnya yang menentang peperangan, tetapi memilih perdamaian dengan cara yang aman.

Keutamaan nyawa setiap individu dalam Islam selari firman Alah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 32 yang memberi peringatan kepada kita semua bahawa membunuh satu nyawa itu ibarat membunuh seluruh manusia.

Tidak hairan dalam Islam, antara perkara pertama akan dihisab di akhirat kelak ialah masalah pertumpahan darah dan mengambil nyawa orang lain.

Marilah kita menjenayahkan peperangan dan baharulah kita sebenarnya Merdeka!

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia