--> Skip to main content

Menteri Dalam Negeri Libya digantung tugas

TRIPOLI: Menteri Dalam Negeri Libya digantung tugas selepas kejadian tembakan membabitkan kumpulan militan dalam tunjuk perasaan aman, minggu lalu.

"Menteri Dalam Negeri, Fathi Bashagha digantung sementara dan beliau sedang berdepan siasatan dalaman berhubung kenyataannya mengenai tunjuk perasaan serta kejadian di Tripoli dan di bandar-bandar lain," kata Kerajaan Permuafakatan Kebangsaan Libya (GNA).

Bashagha akan disiasat berhubung penguatkuasaan dan pemberian permit kepada penunjuk perasaan, langkah keselamatan yang diambil dan 'keganasan yang berlaku'.

Demonstrasi bermula Ahad lalu di Tripoli, sebagai bantahan terhadap kelemahan perkhidmatan awam dan taraf hidup dengan beberapa kejadian tembakan berlaku. Kejadian sama berlaku pada Isnin dan Rabu lalu.

Kata Bashagha, kejadian pada Rabu menyaksikan, penembak menyasarkan penunjuk perasaan.

Penembak juga turut menculik penunjuk perasaan dan Bashagha melihat kejadian itu sebagai tindakan untuk menimbulkan rasa panik dalam kalangan rakyat serta mengancam keselamatan awam.

Beliau berjanji untuk melindungi rakyat daripada kekejaman kumpulan samseng.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya enam orang diculik dari daerah Tripoli oleh kumpulan militan yang sudah dikenal pasti GNA dan ramai penunjuk perasaan cedera.

Bashagha dalam satu kenyataan di Facebook kementerian menyatakan, beliau bersedia untuk disiasat.

Malah beliau turut meminta supaya ia disiarkan secara langsung untuk menjamin ketelusan.

Libya berdepan dengan keganasan sejak sedekad lalu selepas Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada 2011 menyokong usaha menggulingkan diktator Moemer Kadhafi.

Dua pihak termasuk tentera sedang berbelah-bahagi di negara itu, di mana ada pihak menyokong GNA dan ada pihak menyokong pembangkang yang dipimpin Khalifa Haftar.

Namun kedua-duanya berdepan konflik kuasa di kawasan masing-masing. - AFP