--> Skip to main content

Mengharap isteri segera sembuh

"SAYA tidak dapat menahan sebak setiap kali menatap raut wajah isteri," kata Mohd Azmi Ismail, 50, yang mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pemandu lori sejak lebih sebulan lalu demi menguruskan isterinya yang sakit.

Mohd Azmi berkata, isterinya, Mazita Yusuf, 50, menghidap kencing manis dan darah tinggi sehingga menyebabkan diserang angin ahmar pada Julai lalu dan kini pergerakannya terbatas.

Katanya, ingatan isterinya juga tidak seperti sebelum ini sehingga menyebabkan ada ketikanya dia lupa mengenai anak serta cucu dan sering kali bertanya ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.

"Pada setiap hari, isteri saya perlu bergantung kepada ubat sawan selain perlu disuntik insulin bagi penyakit kencing manis," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Che Arus, Ketereh, Kota Bharu, semalam.

Bapa kepada tujuh anak yang berusia antara 13 hingga 29 tahun itu berkata, selepas berhenti kerja pada Julai lalu, kini anak keduanya, Muhamad Aizal, 28, yang bekerja di Kuala Lumpur menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

"Jika dulu saya bekerja sebagai pemandu lori dengan kadar upah RM65 sehari, kini saya hilang punca pendapatan dan bergantung kepada wang simpanan selain Muhamad Aizal yang mengirim wang untuk perbelanjaan persekolahan adik-adiknya.

"Saya mempunyai tiga lagi anak yang masih belajar dan perlu ditanggung iaitu Nur Baiti, 13, yang belajar di Maahad Syamsul Maarif (Perempuan) Pulai Chondong, Muhamad Aikil, 17, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kok Lanas dan Nur Bashiroh, 23, yang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Syariah," katanya.

Mohd Azmi berkata, menjaga isteri yang sakit bukan satu tanggungjawab kecil, ditambah pula kerisauan melampau boleh menyebabkan emosi seseorang berkecamuk, namun dia perlu bijak mengatasinya.

"Saya menganggap ini ada adalah ujian untuk kami sekeluarga dan tidak pernah putus berdoa semoga insan yang kami sayangi kembali sihat.

"Sebagai hamba, kita boleh berdoa dan berharap kepada Allah SWT. Pada masa sama, sedikit sebanyak ia membantu menguatkan semangat dan membuatkan kita lebih positif dalam berhadapan dengan kehidupan akan datang," katanya.