--> Skip to main content

Memahami 5 kaedah penyusunan hadis

Berdasarkan fakta sejarah, hadis sudah ditulis sejak zaman Nabi SAW. Walaupun kebanyakan sahabat RA tidak tahu membaca dan menulis, segelintir daripada mereka mempunyai kemahiran itu.

Meskipun tidak ramai, bilangan mereka sebagaimana yang direkodkan Dr Muhammad Mustafa al-A'zami di dalam bukunya 'Kuttab al-Nabi SAW' ialah 64 orang.

Dalam kalangan mereka, ada yang dilantik sebagai penulis wahyu dan ada hanya menulis hadis Nabi SAW.

Catatan hadis mereka dikenali sebagai sahifah. Oleh itu, boleh dinyatakan karya hadis sudah bermula dengan penulisan sahifah oleh sebilangan sahabat antaranya Sahifah Ali bin Abi Talib RA, Sahifah Abdullah bin Amru bin al-As RA, Sahifah Abu Musa al-Asy'ari RA, Sahifah Samurah bin Jundub RA dan Sahifah Anas bin Malik RA.

Selain menggunakan sahifah, kebanyakan sahabat RA lain hanya mengingat apa yang mereka saksikan atau terima daripada Nabi SAW dan menyampaikannya semula secara lisan.

Situasi sedemikian berlangsung lama sehingga generasi tabiin.

Pada zaman tabiin, bilangan sahabat RA yang masih hidup makin sedikit yang tinggal. Tokoh perawi tabiin yang ada pula duduk di merata tempat di seluruh empayar Islam yang semakin luas.

Bilangan mereka juga lama-kelamaan berkurangan dan ada terbunuh dalam sebahagian peperangan yang berlaku. Selain itu, wujud ancaman fahaman bidaah seperti Syiah, Nawasib dan Khawarij.

Faktor ini mendorong Khalifah Umawi yang ke-8, iaitu Umar bin Abd al-Aziz (wafat pada 101H) untuk mengeluarkan arahan rasmi bagi mengumpul dan membukukan hadis secara besar-besaran.

Maka, ulama yang ada waktu itu pun segera melaksanakan perintah berkenaan.

Tokoh pertama yang berjaya mengumpulkan dan menghantarkannya kepada khalifah ialah Muhammad bin Muslim bin Syihab az-Zuhri (wafat 124H).

Pada abad ke-2H (8M), proses pembukuan dan penyusunan hadis terus berkembang dalam kalangan ulama.

Namun, metode penulisan mereka belum sistematik. Hadis belum disusun mengikut tema dan bab fiqah secara terperinci. Himpunan hadis turut bercampur dengan kata-kata sahabat dan tabiin serta fatwa mereka.

Kemudian pada separuh kedua abad ini, penyusunan secara sistematik mula muncul dalam kalangan ulama. Antara karya abad ke-2H yang masih kekal hingga hari ini ialah kitab al-Muwatta' oleh ImamMalik bin Anas.

Metode penulisan hadis kemudian mencapai zaman kemuncak kegemilangannya pada abad ke-3H (9M). Pada abad ini, muncul pelbagai kitab hadis yang menjadi rujukan muktabar bagi umat Islam sehingga masa kini.

Dalam menghasilkannya, ulama hadis menggunakan pelbagai metode penulisan seperti berikut.

Pertama, metode penyusunan berdasarkan hadis sahih. Kategori ini dikenali sebagai as-sihah seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sahih Ibn Khuzaimah dan Sahih Ibn Hibban. Namun, Sahih Ibn Khuzaimah masih tidak ditemui lengkap sepenuhnya.

Kedua, metode penyusunan berdasarkan bab fiqah. Kategori ini dikenali sebagai as-sunan, yang kebanyakan isi kandungannya ialah hadis Nabi SAW seperti Sunan Abi Dawud, Sunan at-Tirmizi, Sunan an-Nasaie dan Sunan Ibn Majah. Juga sebagai al-musannafat yang isi kandungannya bercampur antara hadis, kata-kata sahabat dan tabiin seperti Musannaf Abd ar-Razzaq dan Musannaf Ibn Abi Syaibah.

Ketiga, metode penyusunan berdasarkan nama sahabat RA. Kategori ini dikenali sebagai al-masanid, seperti Musnad at-Tayalisi dan Musnad Ahmad bin Hanbal.

Dikatakan, terdapat sekitar 100 musnad dan banyak daripadanya hilang. Contohnya, Musnad Baqi bin Makhlad belum ditemukan. Begitu juga Musnad Ya'qub bin Syaibah yang dikatakan musnad terbesar kerana dijangka jika siap sepenuhnya akan terdiri daripada 200 jilid dan bahagian riwayat Ali RA saja sebanyak lima jilid.

Keempat, metode penyusunan berdasarkan huruf abjad bagi nama perawi. Kategori ini dikenali sebagai al-ma'ajim seperti al-Mu'jam al-Kabir, al-Mu'jam al-Awsat dan al-Mu'jam al-Saghir, ketiga-tiganya oleh at-Tabarani.

Kelima, metode penyusunan berdasarkan tema atau isu tertentu. Kategori ini dikenali sebagai al-ajza' seperti kitab al-Zuhd oleh Ibn al-Mubarak, Khalq Af'al al-'Ibad oleh al-Bukhari, al-Kharaj oleh Abu Yusuf dan al-Imamah oleh Abu Nu'aim.

Ibn Abi ad-Dunya adalah ahli hadis yang paling prolifik dalam menghasilkan al-ajza'.

Semua kategori karya ini disebut sebagai sumber asal hadis. Hanya kepada kelompok karya ini sahaja yang boleh kita sandarkan sesuatu hadis kepada sumber asalnya.

Menyandarkan sesuatu hadis bukan kepada sumber asalnya, seperti kepada karya hadis lewat abad ke-8H dan seterusnya adalah satu kesalahan ilmiah yang wajar dielakkan.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis dan Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis)