--> Skip to main content

Melbourne kuat kuasa perintah berkurung

MELBOURNE: Bandar kedua terbesar di Australia menguatkuasakan perintah berkurung pada waktu malam bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19.

Arahan terbaharu yang akan berkuat kuasa selama enam minggu di seluruh Melbourne itu turut menyaksikan larangan terhadap majlis perkahwinan, sesi persekolahan dan universiti.

Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews, tidak menolak kemungkinan perintah larangan demi menangani peningkatan penularan jangkitan COVID-19 itu berkemungkinan terpaksa dilanjutkan lagi.

"Sekiranya tiada 'keajaiban' berlaku, larangan ini boleh dilanjutkan untuk berbulan akan datang," katanya.

Meskipun perintah berkurang dilaksanakan, Melbourne kekal mencatatkan ratusan kes baharu COVID-19 saban hari, manakala negeri lain di Australia mencatatkan perkembangan positif, sama ada sifar atau angka positif jangkitan yang kecil.

Sementara itu, pihak berkuasa di Afrika Selatan mengesahkan jumlah keseluruhan individu yang disahkan positif COVID-19 di negara itu kini melepasi paras setengah juta orang, selepas perintah berkurung mula 'diringankan' secara berfasa.

Negara itu paling teruk dilanda pandemik itu Afrika, yang mana lebih separuh daripada yang diuji didapati positif virus berkenaan, walaupun Presiden Cyril Ramaphosa mengatakan kadar kematian lebih rendah daripada purata kematian global.

Dalam perkembangan lain, pandemik yang tercetus di seluruh dunia itu menyebabkan semua pihak berlumba-lumba menghasilkan vaksin, termasuk beberapa syarikat dari China.

Pembangunan vaksin oleh Russia pula menyaksikan negara itu dijangka menggunakan 'ramuan' tersendiri, mulai bulan depan.

Bagaimanapun, pakar penyakit berjangkit dari Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci, berkata pihaknya tidak akan menggunakan sebarang vaksin yang dibangunkan negara lain.

"Saya berharap China dan Russia menguji dulu vaksin itu sebelum ia diberikan kepada sesiapa," katanya. - AFP