--> Skip to main content

Meerqeen ganti pelakon senior

KUALA LUMPUR: Dipilih menggantikan pelakon senior dalam drama arahan Michael Ang, pasti ada sesuatu yang hebat dimiliki bakat baharu, Meerqeen.

Berusia 19 tahun, Meerqeen atau nama sebenar, Shameer Shauqeen Shaiful Izam berbangga dipilih Michael menghidupkan watak utama dalam drama rantaian Takdir Kita.

"Biarpun sebelum ini ada kontroversi di sebalik pemilihan teraju utama itu, saya masih berbangga dipilih sebagai pelakon ganti.

"Boleh dikatakan drama Takdir Kita adalah antara naskhah besar buat saya, biarpun sebelum ini, saya pernah membawa watak utama dalam filem televisyen (TV), Kelaster.

Meerqeen enggan mempersiakan peluang kedua diberi Micheal untuk drama Takdir Kita. Foto IG Meerqeen Meerqeen enggan mempersiakan peluang kedua diberi Micheal untuk drama Takdir Kita. Foto IG Meerqeen

"Saya gembira orang lain percaya keupayaan saya. Jadi, saya menggunakan kepercayaan itu sebaik-baiknya," katanya kepada BH Online.

Meerqeen sebelum ini pernah menolak tawaran Michael disebabkan terikat dengan pengajian dalam bidang insurans di Kolej Vokasional, Gombak.

"Saya pernah dapat tawaran Michael bagi drama Satukan Rasa. Namun, ketika itu, tapi saya tidak boleh terima kerana perlu menduduki ujian.

"Alhamdulillah, saya dapat tebus semula melalui drama Takdir Kita," katanya.

Meerqeen bersyukur biarpun menduduki tempat ketiga pada pertandingan Hero Remaja 2020, peluang untuk meneroka dunia lakonan terbuka luas.

"Sejak berusia 16 tahun saya menghadiri pelbagai sesi uji bakat tetapi tidak berjaya. Kali ini, apabila diberi peluang, saya harus menggunakannya sebaik mungkin.

"Saya mahu menjadi seperti Hun Haqeem yang disebut-sebut namanya sekarang," katanya yang menjadikan Bront Palarae sebagai idola.

Sementara itu, Meerqeen yang membintangi filem TV, Frontliners terbitan D'Alphalegacy Sdn Bhd, memberitahu, dia membawa watak pesakit COVID-19 dari kumpulan yang digelar 'kluster kayangan'.

Frontliner adalah naskhah yang diilhamkan daripada kisah pengorbanan dan konflik dalaman wira barisan hadapan yang menjadi benteng utama membendung penularan wabak COVID-19.

Filem sentuhan penulis skrip, A'minahtul Marrdiah dan diarahkan Razif Ajiboy Rashid akan disiarkan melalui platform Astro First Eksklusif di saluran 480, Oktober ini.

Pelakon lain yang turut membintangi Frontliners adalah Azhan Rani, Wan Maimunah, Farah Ahmad, Achey, Ashraf Muslim dan Beto Kusyairy.