--> Skip to main content

McGregor terima pelawaan Pacquiao?

LONDON: Conor McGregor memberikan bayangan mengenai pertarungannya bersama petinju legenda, Manny Pacquiao.

Bintang UFC yang sudah bersara itu sebelum ini cuba bergiat dalam arena tinju, namun dimalukan Floyd Mayweather pada 2017.

Namun dia sentiasa cuba mengusik untuk kembali bertinju dan 'tweet' terbaharu seakan memberi petanda mengenai perkara itu.

Bintang berusia 32 tahun itu menulis di Twitter 'Tinatanggap ko'.

Ciapan itu ditulis dalam bahasa Tagalog yang digunakan di Filipina yang mana ia adalah tempat asal Pacquiao.

Apabila diterjemahkan, ia bermaksud 'diterima'.

Ini sekali gus menyaksikan bahawa 'tweet' McGregor sebelum ini bukanlah maklum balas selepas bintang UFC yang belum tewas, Khamzat Chimaev mengajaknya untuk kembali bertarung.

Menurut ESPN, McGregor menegaskan ia tidak berkaitan dengan Chimaev 'namun enggan mengulas lanjut kepada siapa ia ditujukan.'

Walaupun mengumumkan persaraan pada Jun namun dia tetap bekerja keras dan dilihat tetap bersenam di Dublin, baru baru ini. - AGENSI