--> Skip to main content

Mayat warga emas bertopi keledar terapung dalam sungai

SEORANG lelaki warga emas ditemukan mati lemas di Sungai Permatang Bendahari, Kepala Batas tengah hari tadi.

Mayat Ooi Kay Huat, 68 ditemui pada jam 12.30 tengah hari dalam keadaan terapung dan tertiarap dengan memakai topi keledar.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa sepatutnya menjalani rawatan penyakit jantung di sebuah hospital swasta namun ketika anaknya tiba di rumah keluarganya dekat Simpang Ampat pada jam 7 pagi tadi didapati lelaki itu tiada.

Katanya, anak mangsa yang berusia 39 tahun itu dimaklumkan ibunya kemungkinan bapanya pergi ke sebuah tokong untuk sembahyang dengan menunggang motosikal.

"Bagaimanapun bapanya didapati tidak ke sana dan selepas anak mangsa menghubungi beberapa kenalan mangsa juga mengatakan tidak menemui bapanya.

"Anak mangsa turut mencari bapanya di beberapa hospital berdekatan namun tidak menemuinya sebelum membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Noorzainy berkata, sebaik laporan dibuat, anak mangsa diminta ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk membuat pengecaman mayat seorang lelaki yang ditemui di sungai di daerah ini.

"Anaknya mengesahkan mayat itu adalah bapanya.

"Siasatan lanjut ke atas mayat itu tidak menemui sebarang unsur jenayah dan punca kematiannya adalah disebabkan lemas," katanya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

#kw lemas, warga emas, sungai, Kepala Batas