--> Skip to main content

Mayat mangsa kedua perahu karam ditemukan

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam di Long Mewah, Marudi ditamatkan dengan penemuan mayat mangsa kedua, Eduin Jala, 47, pagi ini.

Mayat ditemukan terapung pada jam 8.50 pagi kira-kira satu setengah jam perjalanan menaiki perahu dari lokasi kejadian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman berkata, mayat kemudiannya dibawa ke Marudi menaiki helikopter JBPM.

Pada jam 4.30 petang semalam, mayat mangsa pertama iaitu Franky Setiawan Jena, 14, ditemukan pasukan SAR.

Kedua-dua mangsa hilang dibawa arus deras selepas perahu yang mereka naiki bersama tiga lagi yang lain karam akibat terlanggar batu di Sungai Long Mewah, malam Sabtu lalu.

Ketika kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, tiga pekerja yang berusia 34 hingga 56 tahun berjaya menyelamatkan diri.

Lima pekerja terbabit yang membuat kerja-kerja membaik pulih Sekolah Kebangsaan (SK) Long Aton pergi memancing dan menjala ikan di lokasi berdekatan sekolah berkenaan pada jam 2.30 petang.

Ketika dalam perjalanan balik selepas memancing, perahu yang mereka naiki terlanggar batu lalu pecah dan karam.

Berita berkaitan

• Mayat mangsa perahu karam ditemui

• Dua hilang, perahu pecah terlanggar batu