--> Skip to main content

Mayat ditemukan terapung disyaki nelayan Thailand

MAYAT lelaki disyaki nelayan warga Thailand yang dilaporkan hilang akibat terjatuh di laut pada Selasa lalu ditemukan terapung di perairan Pulau Bidan, Yan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya menerima laporan dibuat tekong bot yang terjumpa mayat terapung berhampiran Pulau Bidan pada 11.45 pagi.

Katanya, lelaki berusia 39 tahun terbabit mengesyaki mayat itu adalah nelayan Thailand, Supkorn Ruanggkaew, 48, yang terjatuh di laut ketika menangkap ikan di perairan Pulau Songsong, Selasa lalu.

"Pemeriksaan polis mendapati jarak mangsa dilaporkan terjatuh dengan lokasi mayat ditemui kira-kira 1.6 batu nautika.

"Mayat terbabit dibawa ke jeti Kuala Kedah sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk pengecaman dan bedah siasat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ditamatkan, hari ini selepas usaha mencari nelayan itu tidak menemui sebarang petunjuk.

Supkorn dilaporkan terjatuh ketika menangkap ikan di perairan Pulau Songsong sekitar 3 petang Selasa lalu.