--> Skip to main content

Maut rempuh belakang lori berhenti di lorong kiri

PENGHANTAR makanan maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar belakang sebuah lori di Kilometer B.05 Lebuhraya Besraya menghala Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian 6.45 petang itu, Muhammad Faizal Yahya, 29, meninggal dunia di lokasi kerana parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang Yamaha Y15ZR gagal mengelak sebuah lori yang berhenti di lorong kiri kerana masalah tayar.

"Pemandu lori itu yang berusia 52 tahun memberhentikan kenderaan dan memasang lampu kecemasan. Mangsa pula gagal mengelak dan melanggar belakang kanan lori itu.

"Mangsa meninggal dunia manakala pemandu lori tidak cedera," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas pemandu lori tidak mengesan kandungan alkohol namun, sampel darah dan urin diambil untuk analisis kimia.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.