--> Skip to main content

'Sampai mati ayah takkan lupa mama'

"ARWAH suami baru sahaja jadi nelayan kira-kira tiga bulan lalu selepas hilang pekerjaan akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)."

Begitu kata Asimah Mat Tarmizi, 35, isteri kepada Allahyarham Mohamad Sofian Zainudin, 38, yang ditemui lemas di Sungai Deraka, Kuala Sepetang di Taiping, semalam.

Suri rumah itu berkata, arwah mengambil keputusan menjadi nelayan akibat kesempitan hidup untuk membesarkan lima anak berusia tiga hingga 14 tahun termasuk empat sedang bersekolah.

Menurutnya, ini kerana suaminya langsung tidak menerima gaji harian sebagai buruh kontrak untuk tempoh tiga bulan.

Katanya, kesulitan hidup juga menyebabkan mereka sekeluarga berteduh di pondok daif di atas tanah kebun milik rakan arwah suami sejak tiga bulan lalu akibat tidak mampu membayar sewa rumah.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana menerima pencen penakat arwah suami daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk membesarkan anak-anak.

"Memang saya tidak menyangka caruman Perkeso ketika suami bekerja sebagai operator kilang simen pada 2015 lalu melayakkan kami untuk menerima faedah berkenaan.

"Sedangkan saya bagai hilang arah sebaik mendengar berita kematian suami disebabkan anak-anak masih kecil dan saya pula tidak bekerja," katanya.

Asimah berkata demikian ketika ditemui selepas kunjungan Perkeso cawangan Taiping di Kampung Air Putih, Kamunting, Taiping, hari ini.

Pada majlis itu, keluarga berkenaan turut menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000.

Turut hadir, Timbalan Presiden PAS, Idris Ahmad serta Pengurus Perkeso Cawangan Taiping, Tunku Shahrin Tunku Salehan.

Menurutnya, arwah suaminya tidak menunjukkan kelakuan pelik, tetapi sempat berpesan supaya menjaga anak-anak dengan mendapatkan pendidikan sewajarnya pada malam sebelum kejadian.

"Pada mulanya saya sangka arwah seperti bergurau. Saya membalas dengan bertanya adakah dia akan melupakan saya selepas ini sebelum arwah menjawab 'sampai mati pun 'ayah' (Mohamad Sofian) takkan lupa 'mama' (Asimah)," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Mohamad Sofian bersama seorang rakannya terjatuh daripada bot dinaiki mereka yang hilang kawalan lalu melanggar tunggul kayu ketika mahu mengangkat bubu kira-kira 10.30 pagi Ahad lalu.

Bagaimanapun, rakan arwah berusia 23 tahun berjaya menyelamatkan diri sebelum usaha pencarian mangsa yang dilakukan hari sama berhasil menemukan mayat mangsa, kira-kira 8 pagi semalam.