--> Skip to main content

MAQIS rampas 281 kilogram ikan tiada permit eksport

JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), merampas 281 kilogram (kg) ikan tanpa permit eksport, hari ini.

Pengarah MAQIS Johor, Nur Afifah A Rahman, berkata kesemua ikan jenis kerapu dan tenggiri itu dirampas ketika hendak dibawa keluar ke Singapura di laluan lori eksport KSAB.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati pemilik lori ikan menyorokkan tong ikan mengandungi dua jenis ikan berkenaan di tempat penyimpanan barang bersama ikan lain yang mempunyai permit eksport.

"Hasil pemeriksaan pada jam 1 pagi itu mendapati pemilik lori menyorokkan 56 kilogram ikan kerapu dan 225 kilogram ikan tenggiri yang tidak diikrarkan bersama tong ikan lain yang mempunyai permit.

"Jumlah ikan yang tidak mempunyai permit eksport dengan berat keseluruhan sebanyak 281 kilogram adalah bernilai RM7,004.83," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.