--> Skip to main content

Mangsa tembakan polis tidak lagi digari

WASHINGTON: Polis Amerika Syarikat (AS) sudah menanggalkan gari Jacob Blake yang dipasang pada katil hospital selain tidak lagi memantaunya, kata peguamnya pada Jumaat.

Blake, 29, yang berketurunan Afrika Amerika, ditembak tujuh kali di belakang badan hujung minggu lalu oleh seorang anggota polis kulit putih di Kenosha, Wisconsin sehingga mengakibatkannya lumpuh daripada bahagian pinggang ke bawah.

Maklumat mengatakan Blake digari pada katil hospital di Wisconsin, dengan bapanya memaklumkan satu kakinya digari, sekali gus mencetuskan polemik ketika kemarahan orang ramai di negara itu memuncak terhadap kes terbaru itu.

Peguam Blake, Patrick Cafferty berkata lelaki itu digari di katil hospital dan pegawai polis memantaunya kerana satu waran yang berkait dengan insiden keganasan rumah tangga pada Julai lalu.

Cafferty berkata, dia berbincang dengan seorang pendakwa raya pagi semalam untuk membatalkan waran itu.

"Setakat lima minit lalu, gari itu sudah ditanggalkan dan pegawai polis tidak lagi berada dalam biliknya," kata Cafferty seperti dilaporkan akhbar Wisconsin State Journal.

Terdahulu, bapa Blake, Jacob Blake Sr menzahirkan kemarahannya selepas melihat anak lelakinya itu digari ketika melawatnya di hospital, Rabu lalu.

Katanya, Blake memberitahunya rasa sakit pada bahagian kaki, namun tidak pasti sama ada kesakitan itu benar-benar datang daripada kakinya.

Sebelum ini, Gabenor Wisconsin, Tony Evers dilaporkan mempersoalkan mengapa Blake digari pada katil hospital. - AFP