--> Skip to main content

Malang berganda wanita sunyi

MALANG berganda. Itu nasib seorang wanita apabila bukan sahaja berpisah dengan suaminya kerana masalah rumah tangga, malah menjadi mangsa penipuan 'love scam' menyebabkan dia kerugian RM37,430.

Menurut sumber, mangsa berusia 58 tahun pada mulanya berkenalan dengan seorang lelaki melalui Facebook sejak lima bulan lalu.

"Mangsa yang ketika itu mempunyai masalah rumah tangga mengadu nasib kepada kenalannya itu selepas dia memberitahu tiada tempat tinggal apabila berpisah dengan suaminya.

"Lelaki terbabit kemudian memberitahu dia akan menolong wanita itu dengan membeli rumah sebagai hadiah kepadanya dan turut berjanji akan memberi wang tunai RM750,000," katanya.

Sumber berkata, mangsa memberitahu dia tidak mahu hadiah wang itu, namun suspek memperdayakan wanita terbabit kononnya dia sudah memindahkan wang itu ke dalam satu akaun di luar negara.

Beliau berkata, mangsa perlu memasukkan sejumlah wang untuk melihat wang dimasukkan ke akaun di luar negara yang didakwa sudah dipindahkan oleh suspek.

"Bermula 5 Jun hingga 28 Julai lalu mangsa beberapa kali memindahkan wang ke akaun diberikan suspek di bank di Kelana Jaya, Petaling Jaya, berjumlah RM37,430.

"Selepas beberapa kali memberi wang kepada lelaki itu, mangsa belum menerima wang tunai yang didakwa ingin diberi sebagai hadiah.

"Sebaliknya lelaki itu tetap meminta RM34,270 menyebabkan mangsa berasa ditipu sebelum dia membuat laporan polis Rabu lalu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashriman Ku Mahmood mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan di Pulau Pinang selepas menjadi mangsa penipuan Love Scam.

"Kami belum mengambil keterangannya dan akan meminta pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk merakam keterangan mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi hari ini.