--> Skip to main content

Main-main, jari hantu tersangkut...

KANAK-KANAK perempuan terpaksa menahan kesakitan hampir 30 minit apabila kedua-dua jari hantunya tersangkut pada lubang kerusi di rumahnya di Taman Maju, Seri Iskandar, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar, Roslan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 5.12 petang sebelum lima anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi.

Menurutnya, pihaknya difahamkan ketika kejadian kanak-kanak berusia lima tahun itu bermain di kerusi plastik berkenaan.

"Kedua-dua jari hantu kanak-kanak itu tersangkut di lubang kerusi dan tidak dapat dikeluarkan sebelum bomba dihubungi untuk bantuan.

"Anggota bomba mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan jari kanak-kanak terbabit dengan memotong kerusi itu," katanya ketika dihubungi.

Katanya, kanak-kanak itu, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.